MUKADIMAH
Firman Allah SWT yang bermaksud ''Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka
itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al-Quran
itu bukanlah cerita yang dibuat-buat akan tetapi yang membenarkan
kitab-kitab yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu dan sebagai
petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.''
Di zaman yang mencabar ini banyak wasilah-wasilah dan uslub dakwah yang
digunakan mengikut perkembangan semasa selagi mana ia tidak bercanggah
dengan al-Quran dan as-Sunnah. Walaupun begitu perjalanan dakwah
kaum-kaum terdahulu tidak diabaikan begitu sahaja, ianya terus dijadikan
pengajaran untuk para pendakakwah menyesuaikan waqi’e semasa.
Kisah Nabi Sulaiman dan Puteri Balqis yang terdapat pada surah an-Naml
merupakan suatu nilai dakwah yang menarik untuk direnungi bersama. Hanya
dengan perantaraan seekor burung Hud-Hud, Nabi Sulaiman berdakwah
kepada Puteri Balqis ternyata yang batil tunduk pada yang hak.
Kisah ini difirmankan oleh Allah SWT dalam surah an-Naml yang bermula
dari ayat 20-30, mengisahkan tentang kekuasaan yang dikurniakan oleh
Allah kepada Nabi Sulaiman yang dapat memerintahkan jin, manusia dan
binatang. Namun dengan kesempurnaan yang begitu besarpun baginda tidak
merasa megah dan sombong bahkan tetap bersyukur dengan kurnian Allah.
Sikap yang sebegini perlu diambil perhatian oleh segenap lapisan
masyarakat lebih-lebih lagi mereka yang bergelar pemimpin. Ini adalah
kerana setiap kekuasan dan kekayaan yang dimiliki bukannya milik mereka
akan tetapi hanyalah sebagai amanah yang Allah kurniakan kepada mereka
untuk disampaikan pada yang berhak.
PENGARAJARAN
Daripada kisah ini dapat kita ketahui bahawa peranan dakwah bukan saja
ditaklifkan kepada Nabi-Nabi dan ulama’ terdahulu saja akan tetapi
kepada seluruh umat Islam yang eriman dengan Allah dan Rasulnya. Sabda
Rasulullah yang bermaksud ''Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat''.
Akan tetapi golongan agamawan adalah mereka yang sangat digalakkan untuk
menyebarkan mesej dakwah Islam. Maka amat memalukan jika golongan
agamawan ini lali dari kewajipan mereka yang sebenarnya iaitu menyeru
kepada kebenaran dan menegah kemungkaran. Sedangkan seekor burung
Hud-Hud yang kecil mampu untuk memikul beban dakwah yang akhirnya
membuatkan Puteri Balqis tunduk kepada Islam. Sekiranya golongan
agamawan mempunyai semangat sepertimana Hud-Hud ini dengan berbekalkan
kekuatan, kecerdikan, keimanan dan tawakal nescaya dakwah Islamiyah akan
berkembang ke serata pelusuk dunia. Akan tetapi apakah malangnya nasib
umat Islam yang mempunyai bakal-bakal agamawan yang masih leka dihadapan
kaca-kaca ajaib, dibaluti selimut hikmat sedangkan musuh-musuh Islam
rancak merancang umat Islam untuk menjatuhkan Islam melalui penganutnya
sendiri.
Firman Allah SWT ''Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan
burung ( yang turut serta dalam tenteranya )'' lalu berkata ''mengapa
aku tidak melihat Hud-Hud?adakah ia dari mereka yang tidak hadir?''
an-Naml 20. Nabi Sulaiman ditaklifkan oleh Allah SWT sebagai utusan dan
Nabi untuk mengajak kaumnya kepada Islam tidak leka dan lalai dalam
memerhati gerak-geri dan tingkah laku umatnya. Ayat tersebut menunjukkan
kepada kita bahawa pentingnya sikap dan sensetiviti kepada setia
pendai’e dalam memerhati hal ehwal mad’unya. Pada pandangan psikologi,
dakwah akan lebih berkesan dengan adanya maklumat-maklumat tentang hal
ehwal mad’u kerana melaluinya uslub dakwah dapat disesuaikan dengan cara
hidup mereka.
Para pendakwah perlu mengemukakan dalil dan hujah yang berlandaskan
al-Quran dan as-Sunnah dalam menghadapi kemungkinan berlakunya
perdebatan dengan mad’u. Tanpa ada dalil yang mantap mengakibatkan mesej
dakwah yang akan disampaikan tidak akan diterima oleh mad’u.
Maka dengan hujah yang jelas dan tepat telah menyelamatkan Hud-Hud dari
dikenakan azab dan siksaan bahkan ianya dijadikan sebagai perantaraan
yang penting dalam dakwah Nabi Sulaiman kepada kaum Saba’. Firman Allah
yang bermaksud ''Demi sesungguhnya! aku akan menyiksanya dengan siksaan
yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, kecuali ia membawa
kepadaku alasan yang terang dan nyata'' an-Naml 21.
Seterusnya Firman Allah ''Hud-Hud itu tidak lama kemudian datang sambil
berkata ( kepada Sulaiman ) ''Aku dapat mengetahui sesuatu yang kamu
belum mengetahuinya dan aku datang kepadamu dari negeri Saba’ dengan
membawa berita yang diyakini kebenarannya'' an-Naml 22.
''Sesungguhnya aku dapati seorang perempuan ( Balqis ) yang memerintah
mereka dan ia telah diberikan kepadanya ( serba sedikit ) dari tiap-tiap
sesuatu ( yang diperlukan ) dan ia pula mempunyai singgahsana yang
besar'' an-Naml 23.
Ayat ini menunjukkan ketekunan dan ketabahan Hud-Hud dalam mencari dan
mengumpulkan maklumat yang benar tentang kaum Saba’ kemudian
menyampaikannya kepada Nabi Sulaiman sepertimana yang dilihatnya tanpa
mengubah atau memalsukannya walaupun terpaksa mengharungi kesusahan
dalam mendapatkannya. Inilah sifat yang sepatuntnya ada kepada mereka
yang bergelar pendakwah bukannya sifat yang ada pada setengah golongan
agamawan yang menggunakan ilmu hanya untuk kepentingan dunia dan hawa
nafsu semata-mata. Apabila merasa tertekan mereka sanggup berpaling dari
tujuan dan matlamat sebenar demi menjaga periuk nasi mereka tanpa
memikirkan balasan di akhirat yang menanti. Matlamat dan tujuan sebenar
dakwah Islamiah adalah menyeru kepada beribadah seperti yang ditegaskan
oleh Allah dalm firmannya yang bermaksud ''Katakanlah, inilah jalan (
agama ) ku, aku dan orang-orang yang mengikutku mengajak ( kamu ) kepada
Allah dengan hujah yang nyata, maha suci Allah dan aku tidak termasuk
orang-orang yang musyrik''. surah yusof 108
Justeru para pendakwah perlulah melengkapkan dirinya dengan
maklumat-maklumat dan ilmu yang mantap agar dapat mempertahankan
kemurnian Islam. Hud-Hud ketika ia menyampaikan laporan tentang keadaan
kaum Saba’ dan pemimpinnya tidak sedikitpun laporan yang disampaikan
tersebut diubah dan diselewengkannya dari apa yang dilihat dan
didapatinya.
Demikian sifat yang ada pada Hud-Hud yang diterjemahkan dalam al-Quran
melalui firmannya yang bermaksud ''Aku dapati raja perempuan itu dan
kaumnya sujud kepada matahari dengan meninggalkan ibadat menyembah Allah
dan syaitan pula memperelok pada pandangan mereka akan perbuatan syirik
mereka lalu menghalangi mereka dari jalan ( yang benar ) Oleh itu
mereka tidak mendapat petunjuk'' an-Naml 24
''( Mereka dihalangi oleh syaitan ) supaya tidak sujud menyembah Allah
yang mengeluarkan benda yang tersembunyi di langit dan di bumi dan yang
mengetahui apa yang kamu rahsiakan serta apa yang kamu zahirkan''.
an-Naml 25
Pada zaman yang serba moden ini pelbagai wasilah dakwah boleh digunakan
selagi mana ianya tidak bercanggah dengan syariat serta halatuju dakwah
Islamiah. Antara yang dapat kita lihat pada hari ini ialah seperti
jaringan internet, medan nasyid, penulisan, ceramah dan banyak lagi.
Sebagai contoh Nabi Sulaiman telah menggunakan penulisan sebagaimana
yang digunakan oleh junjungan besar Nabi Muhamad SAW dalam berdakjwah
kepada Puteri Balqis dan kaumnya. Firman Allah yang bermaksud :
''Pergilah dengan membawa suratku ini lalu jatuhkanlah kepada mereka,
kemudian berpalinglah dari mereka, lalu perhatikanlah apa yang mereka
bicarakan.''
Mesej yang telah disampaikan melalui wasilah-wasilah tadi hendaklah
dengan menggunakan uslub yang baik serta jelas dan mudah diterima.
Firman Allah yang bermaksud ''Berkata ia ( Balqis ) 'Hai
pembesar-pembesarku, sesungguhnya surat itu dari Sulaiman dan
sesungguhnya isinya, Dengan menyebut nama Allah yang Maha Pemurah lagi
Maha Penyayang, bahawa janganlah kamu sekalian bersikap sombong
terhadapku dan datanglah kepadaku sebagai orang yang berserah diri.''
Dengan menyatakan perbincangan tentang sesuatu masalah, ianya akan dapat
menyelesaikan masalah tanpa berakhir dengan keburukan bahkan memberi
petunjuk kepada kebenaran, hal ini terbukti kepada Puteri Balqis dan
pembesarnya. Apabila mereka menyatakan perbincangan tentang apa yang
mereka perlu lakukan setelah menerima seruan daripada Nabi Sulaiman
adakah dengan menghantar bala tentera, kerana mereka mempunyai kekuatan
ketenteraan yang lengkap ataupun dengan menerima seruan Nabi Allah
Sulaiman.
Firman Allah SWT yang bermaksud ''Berkata dia ( Balqis ) Hai para
pembesar! berilah aku pertimbangan dalam urusanku ( ini ) aku tidak
pernah memutuskan sesuatu persoalan sebelum kamu berada dalam
majlisku.'' Mereka menjawab ''kita adalah orang-orang yang memiliki
kekuatan dan juga memiliki keberanian yang sangat ( dalam peperangan )
dan keputusan berada ditananmu. Maka pertimbangkanlah apa yang akan
perintahkan''. Dia berkata ''Sesungguhnya raja-raja apabila memasuki
sesuatu negeri nescaya mereka membinasakanmu dan jadilah penduduknya
yang mulia jadi hina dan demikianlah pula yang akan mereka buat''.
Dalam urusan dakwah yang sememangnya penuh dengan ujian, para pendakwah
perlulah mengikhlaskan diri kerana Allah tanpa mengaharapkan balasan dan
sanjungan, serta berhati-hati dengan tipu daya golongan yang benci
kepada Islam, mereka akan sentiasa akan mencuba untuk memusnahkan
usaha-usaha dakwah yang dilakukan samada pujuk rayu atau mengumpan
dengan harta benda. Dalam hal ini, para pendakwah perlu kembali kepada
sikap Nabi Muhamad SAW dalam menghadapi golongan seperti ini, Nabi SAW
menolak segala tawaran golongan Quraisy supaya beliau meninggalkan
dakwahnya. Sabda Nabi SAW
''Demi Allah! Wahai bapa saudaraku, sekiranya mereka meletakkan matahari
di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku agar aku meninggalkan
urusanku ini sehingga Allah menzahirkannya atau membinasakan yang
selainnya nescaya tidak akan aku tinggalkan urusanku ini.''
Nabi Sulaiman sepeti Nabi Muhamad SAW telah menolak tawaran hadiah
daripada Puteri Balqis yang menyangka bahawa dengan tawaran tersebut
Nabi Sulaiman tidak akan menghantar bala tenteranya keatas mereka.
Ternyata sangkaan beliau meleset bahkan sebaliknya yang berlaku. Fiman
Allah SWT yang bermaksud ''Dan sesungguhnya aku akan mengirimkan utusan
kepada mereka dengan ( membawa ) hadiah, dan ( aku akan ) menunggu apa
yang akan dibawa kembali oleh utusan-utusan itu''. Maka ketika utusan
itu sampai Nabi Sulaiman berkata, ''Apakah ( patut ) kamu menolong aku
dengan harta? Maka apa yang diberikan Allah kepadaku lebih baik daripada
apa yang diberikannya kepadamu, tetapi kamu merasa bangga dengan
hadiahmu, kembalilah kepada mereka, sungguh kami akan mendatangi mereka
dengan bala tentera yang mereka tidak kuasa menawannya dan pasti kami
akan mengusir mereka dari negeri itu ( Saba’ ) dengan terhina dan mereka
menjadi ( tawanan-tawanan ) yang hina''. Wasilah dan uslub yang
digunakan oleh pendakwah perlu disertai dengan bukti dan hujah yang
boleh memenangi hati para mad’unya.
Firman Allah yang bermaksud ''Berkata Sulaiman, 'hai pembesar-pembesar,
siapakah di antara kamu yang mampu membawa singgahsananya kepadaku
sebelum mereka datang kepadaku sebagai orang-orang yang berserah diri.
Berata jin Ifrit ( yang cerdik ), aku akan datang dengan membawa
singgahsana itu kepadamu sebelum kamu berdiri dari tempat dudukmu.
Sesungguhnya aku benar-benar kuat untuk membawanya lagi dipercayai'.
Berkatalah seorang yang mempunyai ilmu dari golongan ahli kitab,'aku
akan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum matamu berkedip'. Maka
ketika Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di hadapannya lalu
baginda berkata 'Ini termasuk kurniaan tuhanku untuk mencuba aku apakah
aku bersyukur atau mengingkari ( akan nikmatnya )''.
KESIMPULAN
Di dalam ayat ini juga terselit beberapa gambaran yang boleh digunakan
oleh para pendakwah untuk menyampaikan mesej yang dibawanya. Pertamanya,
pendakwah perlu menggunakan kemampuan dan ilmu yang dikurniakan oleh
Allah kepadanya dalam berlumba-lumba di arena dakwah dalam mengejar
keredhaan Allah di dunia dan akhirat disamping untuk mencapai tahap
penerimaan mad’u yang tebaik. Keduanya setiap pendakwah perlu bersyukur
kepada segala kurniaan Allah keatasnya daripada ilmu dan kejayaan serta
menghapuskan perasaan sombong dan ingkar serta mendabik dada dengan apa
yang diperolehi.
Dalam menghadapi mad’u yang mempunyai berbagai karenah maka perlulah
bagi pendakwah menguji tahap kemampuan fikiran dan keilmuan mad’unya.
Dengan ini pendaie dapat menyesuaikan uslub yang bakal digunakannya
mengikut tahap pemikiran setiap mad’u. Ianya juga perlu untuk menghadapi
hujah dan perdebatan antara mereka. Sepertimana yang diterangkan dalam
kisah tadi, Nabi Sulaiman menguji kepintaran Puteri Balqis dengan
mengubah singgahsananya dari negeri Saba’ ke Palestin serta lantainya
ditukar kepada kaca adakah dia mengenal akan singgahsananya itu.
Kemudian firman Allah SWT yang bermaksud ''Dia berkata 'Rubahlah
singgahsananya, maka kita akan melihat apakah dia mengenal ataukah dia
termasuk orang-orang yang tidak mengenalinya' dan ketika Balqis datang
ditanyakan kepadanya 'Serupa inikah singgahsanamu?' Dia menjawab
'Seakan-akan singgahsana ini singgahsanaku, kami telah diberi
pengetahuan sebelumnya ( Kenabian Sulaiman ) dan kami adalah orang-orang
yang berserah diri. Dan apa yang disembahnya selama ini selain Allah
mencegahnya ( untuk melahirkan Islam ) kerana sesungguhnya dia dahulunya
termasuk orang-orang kafir'. Dikatakan kepadanya 'Masuklah ke dalam
istana', maka tatkala melihat istana itu dikiranya kolam air yang besar
dan disingkatkan kedua betisnya, berkatalah Sulaiman 'Sesungguhnya ia
adalah istana licin yang diperbuat dari kaca'. Berkata Balqis 'Ya
Tuhanku, sesungguhnya aku telah berbuat zalim terhadap diriku dan aku
berserah diri bersama Sulaiman kepada Allah tuhan semesta alam'''.
Demikianlah kesungguhan dan ikhtiar hud-hud telah memakaikan mahkota
hidayah kepada Puteri Balqis di tangan Nabi Allah Sulaiman dan
sesungguhnya amat patutlah bagi setiap pendaie menjadikan kisah ini
sebagai pedoman dan pengajaran demi untuk mengukuhkan lagi nilai serta
benih dakwah di dalam dirinya mahupun mad’unya.
wallahua’lam
Tidak ada komentar:
Posting Komentar